Monday, November 23, 2009

Kenapa kita kurang melabur...

Posted on Monday, November 23, 2009 by Ahmad Suhaili Hassan

Kenapa Bumiputra Kurang Melabur

Oleh DALIZA ARIFFIN (ekonomi@utusan.com.my)


‘‘SEJAK kecil lagi saya sudah tahu pasal Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana saya selalu mengikut ibu ke pejabat pos untuk menyimpan duitnya di dalam akaun tersebut.”
Itulah jawapan yang diberikan oleh salah seorang pelabur yang ditemui secara rambang tentang sejauh mana minatnya melabur dalam produk unit amanah Permodalan Nasional Berhad. (PNB) terutama Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bagi pelabur itu, ASB terlalu sinonim dengan diri dan keluarganya sehingga lebih selesa terus melanggan ASB yang berharga RM1.00 seunit dan bukannya unit amanah lain.
Perkataan ‘bumiputera’ pada nama unit amanah ASB juga membuatkan mereka merasakan lebih selamat dan terjamin melabur dalam saham amanah yang mula dilancarkan pada 1 Januari 1990 itu.

Keadaan ini bagaimanapun, mengundang kebaikan dan juga keburukan, kerana PNB mengharapkan pelabur ini juga beralih kepada unit amanah harga berubah-ubah dan seterusnya menjinakkan mereka dengan dunia pelaburan saham, sehingga melahirkan pelabur hebat.

Pelabur hebat yang diharapkan kelahirannya oleh PNB bukan sekadar arif melabur tetapi juga mampu merancang kewangan dirinya dan juga keluarga, sekali gus, perubahan taraf hidup mereka dapat dilakukan.

Meskipun begitu, pembayaran agihan pendapatan ASB yang dianggap menggalakkan dan kekangan jumlah wang yang dibawa pulang ketika taraf kehidupan yang meningkat menyebabkan pelabur bumiputera kurang melabur dalam unit amanah lain seperti ASW2020 (ASW) dan juga ASM.

Pada masa ini, kesemua peruntukan bukan bumiputera dalam ASW habis terjual manakala ASM yang juga dilanggan sepenuhnya, menyaksikan 20 peratus daripada dana tambahan 800 unit dibeli oleh bumiputera.

Pulangan

Bagi pelabur bumiputera, usaha mempelbagaikan pelaburannya seperti mana disarankan oleh sesetengah perancangan kewangan untuk meningkatkan pulangan dan mengurangkan risiko, bukannya keperluan yang mendesak.

Keadaan ini amat dirasai khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah di bandar-bandar utama yang berdepan dengan kos kehidupan yang terus meningkat.
Pendapatan bulanan mereka juga terpaksa digunakan untuk melangsaikan ansuran bulanan kenderaan, rumah, perbelanjaan persekolahan anak dan harian serta lain-lain lagi.
Keperluan untuk memenuhi tuntutan asas itu lebih diutamakan terlebih dahulu dan diikuti dengan simpanan secara kecil-kecilan di dalam ASB dan Tabung Haji termasuk insurans.

Ini berbeza dengan kebanyakan pelabur bukan bumiputera yang memiliki simpanan yang tinggi dalam pelbagai bentuk pelaburan dan peluang yang dibuka luas oleh PNB selama ini dianggap sebagai lubuk emas bagi mereka.

Jadi, tidak menghairankan, sekiranya peruntukan ASM dan juga ASW ketika mula dilancarkan dan penambahan dananya termasuk pada 12 Mac lalu habis dilanggan, sehingga mencatat satu rekod dalam sejarah PNB, sebuah firma pelaburan terbesar di Malaysia.

PNB yang kini mencapai usia 29 tahun dan menguasai lebih 40 peratus dalam industri dana amanah negara, telah mengumpulkan lebih 57.7 bilion unit saham daripada 8.4 juta pelabur yang melabur dalam lapan skim dana amanahnya. Daripada keseluruhan pelaburnya itu, hampir 92 peratus atau 7.7 juta orang adalah bumiputera yang membeli kira-kira 52.7 bilion unit saham-sahamnya.

Selain ASB, ASM dan ASW, PNB turut menawarkan dana lain seperti Amanah Saham Nasional 3 (ASN3), Amanah Saham Gemilang (ASG), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) dan Amanah Saham Didik (ASD).

Bagaimanapun, ASM dan ASW, merupakan dana pertama seumpamanya dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang berumur enam bulan ke atas.

Biarpun, bumiputera boleh melabur dalam ASW melalui skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi bukan semua mereka mencapai syarat-syarat yang ditetapkan. Bagi mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan kecil dan sederhana, pastinya tempoh masa yang ‘panjang’ diperlukan untuk memperoleh lebihan dalam akaun sebelum boleh melabur.

Pada masa yang sama, perkembangan Internet, menyaksikan kecenderungan pelabur bumiputera melabur dalam pelaburan luar negara melalui internet juga menjadi punca kurangnya sambutan kepada ASM dan ASW.

Sikap tidak sabar dan tidak mahu menunggu terlalu lama dalam pelaburan saham amanah itu membuat mereka terdorong terlibat dalam pelaburan itu yang mirip skim cepat kaya. Tanpa usaha bersungguh-sungguh yang dibuat oleh pihak berkuasa untuk mengawalnya, pelaburan sebegini akan membawa kepada perkembangan yang tidak sihat dan menggagalkan usaha untuk mendidik rakyat Malaysia menjadi pelabur dalam erti kata yang sebenar.

Tambahan pula PNB setakat ini, telah melabur jutaan ringgit untuk menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) setiap tahun di seluruh negara untuk memberikan maklumat tepat tentang pelaburan.

No Response to "Kenapa kita kurang melabur..."

Leave A Reply