Monday, November 23, 2009

Pengeluaran Pelaburan Ahli KWSP

Posted on Monday, November 23, 2009 by Ahmad Suhaili Hassan

Pengeluaran Pelaburan Ahli KWSP Catat Peningkatan Ketara

‘Bukan Hanya Simpanan’ Bolehkan Lebih Ramai Ahli Buat Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan ketara dalam bilangan Pengeluaran Pelaburan Ahli pada suku tahun ketiga 2008 (S3 2008) berikutan bertambahnya bilangan ahli yang layak di bawah pengeluaran ini. Pada S3 2008, sebanyak 107,564 (S2 2008: 122,887) permohonan telah diluluskan untuk pengeluaran ini, meningkat 42.9 peratus berbanding 75,239 permohonan pada tempoh yang sama tahun lepas (S3 2007).

“Menerusi pelaksanaan Simpanan Asas di bawah inisiatif strategik ‘Bukan Hanya Simpanan’, kini lebih ramai ahli terutamanya yang masih muda layak memohon Pengeluaran Pelaburan Ahli,” kata Datuk Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP ketika mengulas prestasi S3 2008 yang belum diaudit.

Simpanan Asas dilaksanakan pada Februari 2008 di mana sejumlah simpanan dalam Akaun 1 ditetapkan mengikut peringkat umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan minimum sekurang-kurangnya RM120,000 ketika mencapai umur 55 tahun.

Di sebalik peningkatan dalam bilangan permohonan, hanya RM808.53 juta (S2 2008: RM992.69 juta) telah dikeluarkan di bawah pengeluaran ini pada S3 2008 berbanding RM874.44 juta pada S3 2007.

“Meskipun bilangan permohonan yang diluluskan meningkat, namun jumlah simpanan yang dikeluarkan menurun kerana kebanyakan ahli yang membuat pengeluaran terdiri daripada golongan muda. Memandangkan ahli hanya dibenarkan melabur tidak lebih daripada 20 peratus daripada simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas, ahli yang masih muda lazimnya memiliki jumlah simpanan yang kecil untuk dilaburkan,” tambah Datuk Azlan.

Menyedari pentingnya pendidikan bagi menjamin masa depan yang lebih baik, Pengeluaran Pendidikan terus mendapat sambutan daripada ahli. Pada S3 2008, sebanyak 16,663 (S2 2008: 10,454) permohonan Pengeluaran Pendidikan dengan nilai RM85.01 juta (S2 2008: RM64.35 juta) telah diluluskan berbanding 15,877 permohonan bernilai RM87.14 juta pada S3 2007.

Walaupun Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun telah diperkenalkan mulai November 2007, Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun terus menjadi pengeluaran persaraan paling popular di kalangan ahli yang mencecah usia 55 tahun. Sebanyak 29,054 (S2 2008: 32,526) permohonan berjumlah RM1,236.14 juta (S2 2008: RM1,361 juta) telah diluluskan pada S3 2008 berbanding 30,832 permohonan bernilai RM1,594.79 juta pada S3 2007.

Pada S3 2008, sebanyak 7,154 (S2 2008: 6,587) permohonan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun dengan nilai RM403.51 juta (S2 2008: RM387.14 juta) telah diluluskan.

“Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun memberikan pilihan kepada ahli untuk mengeluarkan simpanan mereka secara berkala atau ad hoc berbanding secara sekaligus. Peningkatan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun yang diluluskan pada S3 2008 jelas menunjukkan lebih ramai ahli memilih cara yang lebih fleksibel untuk menguruskan simpanan persaraan mereka dengan lebih baik,” kata Datuk Azlan.

Sementara itu, jumlah Pengeluaran Umur 50 Tahun yang diluluskan pada S3 2008 tidak banyak berubah dengan 26,449 (S2 2008: 30,028) permohonan diluluskan berbanding 25,960 permohonan pada S3 2007. Sebanyak RM685.99 juta (S2 2008: RM786.11 juta) telah dikeluarkan pada S3 2008, meningkat sedikit berbanding RM680.65 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Kesan kelembapan ekonomi juga dapat dilihat menerusi penurunan permohonan Pengeluaran Perumahan yang diluluskan pada S3 2008 berbanding S3 2007. Sebanyak 108,573 (S2 2008: 119,212) permohonan telah diluluskan pada S3 2008 berbanding 135,065 pada S3 2007. Sejumlah RM1,577.24 juta (S2 2008: RM1,827.28 juta) telah dikeluarkan di bawah pengeluaran ini pada S3 2008, menurun 19.5 peratus berbanding RM1,960.23 juta pada S3 2007.

KWSP terus mengekalkan tahap perkhidmatannya seperti yang dijanjikan dalam Piagam Perkhidmatan Pelanggan dengan 99.9 peratus Pengeluaran Umur 50 dan 55 Tahun diproses dalam tempoh 3 hari pada S3 2008 berbanding 99.8 peratus pada S3 2007.

Purata tempoh memproses Pengeluaran Perumahan juga menunjukkan peningkatan lebih ketara pada S3 2008 di mana 96.6 peratus permohonan diproses dalam tempoh 21 hari berbanding 84.9 peratus pada S3 2007.

“KWSP sentiasa komited untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatannya selaras dengan pensijilan MS ISO 9001:2000. Sebagai sebuah organisasi dengan hampir 12 juta ahli, KWSP akan terus memantau dan meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk memastikan ia kekal relevan kepada keperluan ahlinya,” kata Datuk Azlan.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 25 November 2008

No Response to "Pengeluaran Pelaburan Ahli KWSP"

Leave A Reply