Monday, November 23, 2009

Unit Amanah Islamik

Posted on Monday, November 23, 2009 by Ahmad Suhaili Hassan

Unit Trust Islamik

DANA unit amanah berasaskan Syariah adalah suatu skim pelaburan yang mengumpulkan dana dari pelabur-pelabur yang mempunyai objektif kewangan yang sama dan diurus oleh pengurus professional berlandaskan kehendak-kehendak Syariah. Sebagai pertukaran kepada wang dilaburkan, dana menerbitkan unit kepada pelabur.

Unit-unit ini boleh dijual semula kepada syarikat pengu rusan pada bila-bila masa yang dikehendaki. Ciri-ciri inilah yang menjadikan kebanyakan unit amanah adalah dana terbuka (open- ended fund).

Di Malaysia, dana unit amanah mula diperkenalkan pada tahun 1959, namun pada tahun 1993 barulah dana unit amanah berasaskan Syariah diperkenalkan secara rasmi. Permintaan dan sambutan masyarakat terhadap dana unit amanah berasaskan Syariah amat menggalakkan. Ini terbukti dengan jumlah dana yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Setakat tahun 2006 sahaja, terdapat 100 dana unit amanah berasaskan Syariah daripada keseluruhan 416 dana yang telah diluluskan. Jumlah Nilai Aset Bersih (NAB) bagi dana unit amanah berasaskan Syariah turut meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun 33.8 peratus dari tahun 1997 hingga tahun 2006.

Pengendalian sesuatu dana unit amanah berasaskan Syariah melibatkan empat pihak utama iaitu pengurus dana amanah, pemegang amanah, penasihat Syariah dan pelabur atau pemegang unit. Pengurus merupakan mereka yang mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tinggi serta pengalaman yang luas dalam bidang pelaburan.

Pengurus bertanggungjawab mengendalikan urusan pemasaran, pentadbiran dan pelaburan. Manakala pemegang amanah pula bertanggungjawab memastikan kepentingan pelabur sentiasa terjamin dan tiada penyalahgunaan berlaku terhadap aset-aset yang dilaburkan. Perjanjian antara pengurus, pemegang amanah dan pelabur inilah akan mewujudkan dana unit amanah dalam surat ikatan amanah (trust deed).

Selain itu, komponen penting membeza dana unit amanah berasaskan Syariah dengan dana-dana yang lain ialah sesuatu dana unit amanah berasaskan Syariah mestilah mempunyai Penasihat Syariah yang berdaftar dengan SC. Antara peranan dan tanggungjawab penasihat Syariah ialah memberi nasihat dan mengawasi hal ehwal Syariah yang berkaitan dengan produk, dokumentasi, pengstrukturan dan pelaburan. Setakat 31 Mac 2007, jumlah penasihat Syariah berdaftar bagi dana unit amanah berasaskan Syariah adalah seramai 46 orang (42 individu dan empat institusi termasuk Islamic Banking and Finance Institute Malaysia Sdn. Bhd.).

Dana unit amanah berasaskan Syariah boleh dikategorikan kepada beberapa kategori, antaranya ialah dana ekuiti, dana sukuk, dana terimbang, dana pasaran wang, produk berstruktur, dana feeder dan dana pendapatan tetap. Dana akan dilaburkan di dalam pasaran ekuiti Islam, pasaran wang, pasaran sukuk, REITs (Real Estate Investment Trust) dan sebagainya.
Di dalam pasaran ekuiti Islam, dana unit amanah berasaskan Syariah dibenarkan melanggan sekuriti patuh Syariah di Bursa Malaysia yang telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC). Setakat 27 Oktober 2006, sejumlah 886 sekuriti patuh Syariah telah diluluskan. Senarai ini akan dikemaskinikan dua kali setahun iaitu pada setiap Jumaat minggu terakhir bulan Mei dan November.

Di dalam pasaran wang, pelaburan dibuat melalui institusi perbankan yang menawarkan instrumen-instrumen yang berlandaskan Syariah seperti Akaun Bil Penerimaan Islam (AB-i), Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), Bil Perbendaharaan Islam dan sebagainya.
Pasaran sukuk juga menawarkan peluang untuk dana unit amanah berasaskan Syariah khususnya kategori dana sukuk membuat pelaburan. Penyertaan dana-dana unit amanah berasaskan Syariah ini sebagai sebahagian daripada pelabur institusi dalam pasaran sukuk, secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada perkembangan pesat pasaran sukuk di negara ini.Ini terbukti dengan terbitan sukuk yang semakin meningkat saban tahun. Setakat tahun 2006 sahaja, terbitan sukuk merupakan 55.2 peratus daripada jumlah bilangan terbitan Sekuriti Hutang Swasta (PDS) yang diluluskan oleh SC.

Malaysia juga, setakat ini, telah menawarkan dua REIT Islam di pasaran iaitu Al-‘Aqar KPJ REIT yang menumpukan kepada bangunan hospital dan REIT Al-Hadharah Boustead yang mempunyai aset hartanah bukan tradisional, termasuk ladang dan kilang kelapa sawit, dalam portfolionya.

Seseorang pemegang unit akan memperolehi pulangan dalam pelaburan di dalam unit amanah menerusi kenaikan nilai unit amanah dan dividen. Nilai seunit amanah akan bergantung kepada nilai portfolio sesuatu dana tersebut. Sekiranya nilai portfolio dana yang terdiri daripada sekuriti dan sukuk meningkat, nilai seunit dana akan turut meningkat dan begitulah sebaliknya.

Pelaburan dalam bentuk unit amanah berasaskan Syariah merupakan antara pola pelaburan yang secara relatifnya mudah, murah dan efisien untuk masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam penjanaan kekayaan dari pasaran modal Islam tanpa terdedah kepada risiko yang tinggi. Kewujudan unit amanah berasaskan Syariah juga membolehkan golongan masyarakat Islam yang berpendapatan rendah dan sederhana menabung dan melibatkan diri dalam pelaburan demi kesejahteraan ekonomi dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Sumber : Utusan Malaysia 14 Mei 2007

No Response to "Unit Amanah Islamik"

Leave A Reply